Peguam Menulis - Kalimah ALLAH

Di ambil dari entry Nurhanisalwa - Terima Kasih kerana membenarkan saya menerbitkan semula entry ini mudah mudahan ada manfaatnya untuk kita...

Salam semua,

Kelmarin, seluruh negara dikejutkan dengan arahan daripada Kementerian Dalam Negeri berhubung penggunaan kalimah Allah oleh Akhbar Herald-The Catholic Weekly dalam buku-buku agama terbitan mereka. Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) hari ini diberitahu bahawa penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan berkaitan agama Kristian bukan lagi satu larangan. Keputusan itu terkandung dalam Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN. Menurut Peguam Kanan Persekutuan, Nizam Zakaria, perintah bertarikh 21 Januari lalu berkuat kuasa serta-merta setelah ia diwartakan pada 16 Februari lalu.

Perintah tersebut berbunyi: ‘‘Percetakan, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran dan pemilikan sebarang dokumen dan penerbitan berkaitan agama Kristian yang mengandungi perkataan ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘Solat’ adalah dilarang melainkan di muka hadapan dokumen dan penerbitan itu ditulis dengan perkataan “Khusus Untuk Penganut Agama Kristian’’.

Untuk makluman semua, pada tahun 2008, sebuah gereja Titular Roman Catholic Arhbishop of Kuala Lumpur telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui semakan kehakiman supaya pengisytiharan dibuat oleh Mahkamah untuk membatalkan keputusan Menteri Keselamatan dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah Allah di dalam akhbar the Herald Weekly dan istilah/perkataan Allah adalah tidak khusus bagi agama Islam.

Antara lain, alasan permohonan mereka adalah:-
1)Penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan tersebut adalah penghayatan Iman Kristian (biar betull!!) dan istilah itu turut digunakan oleh umat Islam dan Kristian;

2)Perkataan Allah terdapat dalam Al-Kitab dan digunakan dalam upacara sembahyang Katholik;

3)Mereka mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menggunakan istilah Allah yang wujud dari hak kebebasan bersuara (Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan) dan hak kebebasan beragama (Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan);

4) Kalimah Allah ialah istilah yang tepat untuk istilah "God" dalam Bible, dan "Lord' sebagai "Tuhan";

5) Istilah Allah bukan istilah khusus bagi agama Islam, dan selama 15 abad, umat Islam dan Kristian telah menggunakan perkataan Allah sebagai merujuk kepada "Tuhan Yang Unggul". Istilah "God" telah diterjemahkan sebagai Allah dalam istilah/perkataan agama Katholik yang pertama kali diterbitkan pada tahun 1989 oleh Majlis Uskup-Uskup Katolik Semalaysia.

Atas dasar mempertahankan agama, beberapa Majlis Agama Islam Negeri-negeri termasuk MAIS telah bertindak balas dengan memfailkan permohonan untuk mencelah di dalam kes tersebut bagi memastikan hal ehwal agama Islam dapat dipertahankan dengan sewajarnya., dan permohonan ini telah dibenarkan oleh Mahkamah. Bagaimanapun, keputusan ini telah mendapat bantahan daripada peguam gereja dengan alasan Mahkamah Tinggi Sivil tidak ada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pihak MAIS dan MAINS. Bantahan ini masih belum dibicarakan, tiba-tiba keluar kenyataan dari KDN.

Dari sudut perundangan sivil dan Syariah, pada pandangan saya, arahan yang dikeluarkan oleh KDN ini merupakan satu perkara yang tidak wajar dan tidak selaras dengan undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia dan juga Hukum Syarak. Dari sudut perundangan Syariah, sebab-sebabnya adalah:-

1) Maksud Syariah yang utama adalah menjaga agama. Jika penggunaan kalimah Allah oleh pihak gereja di dalam kitab-kitab pengajaran agama Kristian terbitan gereja-gereja, kebimbangan bahawa kitab tersebut mudah dibaca oleh orang-orang Islam, mendorong mereka meninggalkan agama Islam, mencetuskan kekeliruan akidah, (Tuhan kita adalah sama?!) justeru, wajiblah kita menghalangnya. Tambahan pula, mengikut kaedah fiqh, kemudharatan hendaklah dicegah.

2) Umat Islam wajib melafazkan perakuan keimanannya secara formal, iaitu La Ilaha Illa Allah yang bermaksud " Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah" dan Muhammadur Rasulullah, yang bermaksud " (Nabi) Muhammad itu Pesuruh Allah". Umat Islam tidak melafazkannya dengan cara-cara lain seperti " Tuhan yang saya sembah adalah Allah" atau "Allah adalah Tuhan saya". Ini menunjukkan bahawa seseorang yang beragama Islam membuat perakuan ketuhanan mereka dalam bentuk negatif, iaitu memperakukakn kewujudan satu Tuhan (Esa) yang dinamakan Allah, di atas penafian tuhan-tuhan lain. Unsur penafian tuhan-tuhan lain inilah yang menjadi tunjang konsep ketuhanan dalam Islam. Ini merupakan satu intipati tauhid (pengesaan Allah) dalam konsep ketuhanan Islam.

3) Perkataan "Allah" dan bukannya "Tuhan" digunakan oleh umat Islam untuk mengelakkan dari makna-makna lain yang tidak dikehendaki, seperti: i) Tuhan yang tidak beridentiti (fahaman pantheisme, iaitu Tuhan adalah segala-galanya dan segala-galanya adalah Tuhan!), ii)Tuhan sebagai entiti yang tidak mutlak/kabur (pandangan idealist), iii)Tuhan sebagai sifat makhluk (yang mempunyai jantina, perlu memenuhkan kehendak-kehendak biologi (makan, minum, berkelamin,) iv) Tuhan yang mempunyai kehendak sosial- berkawan, berkelompok, berpolitik, beragama, dll, v) Tuhan sebagai jelmaan, iaitu yang dijelmakan dalam bentuk objek-objek yang dapat dilihat. vi) Tuhan yang diangkat, asalnya bukan Tuhan, (seperti harta benda, kekayaan, sanjungan, kedudukan).Kesemua sifat-sifat ini tidak tulen dan bukan ciri ketuhanan yang dikehendaki.

4) Dari struktur nahu dan linguistik Arab, perkataan Allah itu secara mutlak bererti "Tuhan yang satu dan satu-satunya", adalah satu nama khas dan bukan ganti nama. Allah tidak boleh digunakan dalam bentuk atau makna-makna lain. Perkataan "Tuhan" sebagai bukan nama khas adalah "Ilah", bukan Allah. Allah ialah nama khas bagi Tuhan yang identitinya adalah keesaan. Jika kita menggunakan perkataan "Tuhan", ianya boleh diumumkan dan boleh dibanyakkan dengan menggantikan "T" besar dengan 't' kecil, memanusiakan pengertiannya seperti "godfather", "godmother", memperempuankannya dengan "goddess", atau memperkecilkannya dengan 'godling'. Kita tidak boleh memanupulasikannya dengan cara apa sekalipun dalam bahasa asalnya (Ahmad Deedat, 1981 : 33) Jelaslah dari segi linguistik perkataan "Allah" adalah lebih superior daripada apa jua perkataan dari apa jua bahasa dalam mempertahankan dan memelihara makna keesaan dan keunikan satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

5) Ketika surah Al-Ikhlas diturunkan, ia membicarakan soal konflik, tentang siapakah sebenarnya Allah yang dituturkan oleh agama-agama lain itu. Adakah ia tepat dan benar dengan konsep 'Allah' yang digelar dan dipanggil oleh mereka? Imam Ibn Kathir menukilkan kata-kata Ikrimah tentang perihal turunnya ayat ini:

Berkata Ikrimah: " Ketika orang Yahudi mengatakan :"Kami menyembah U'zair anak Allah. Orang Nasrani menyatakan:"Kami menyembah Al-Masih anak Allah. Majusi mengatakan:"kami menyembah matahari dan bulan. Orang Musyrikin pula mengatakan:"Kami menyembah berhala". Lalu Allah swt menurunkan ke atas Rasulullah SAW surah Al-Ikhlas yang bermaksud; 'Katakanlah wahai Muhammad bahawa Allah itu Esa, Allah itu tempat bergantung segala makhluknya, Allah itu tidak beranak dan tidak diperanakkan dan Allah itu tiada bagiNya sekutu'.

Lalu, tidak mengira apa jua agama, sekiranya mereka tidak mengerti dan mengenal siapa itu Allah, makna sebenar di sebalik nama itu, maka mereka sekali-kali tidak layak untuk menggunakan kalimah tersebut sebagai merujuk kepada zatNya Yang Maha Agung.

6)Tuhan orang Islam dan orang Kristian tidak sama, kerana kepercayaan Kristian berasaskan kepada konsep Trinity , iaitu Tuhan yang Satu sebagai Tiga,(Konfiuslah! Berapa sebenarnya? Satu ke tiga?)

7)Diriwayatkan juga sebuah hadith daripada Abu Sa‘id secara marfu‘: “Bahawa Isa diserahkan oleh ibunya kepada seorang pengajar agar dapat mengajarnya menulis. Lalu si pengajar berkata kepadanya: Tulislah dengan nama Allah. Isa berkata: Tahukah kamu siapa itu Allah? Allah ialah Tuhan bagi segala yang dipertuhankan”.

Merujuk kepada undang-undang sivil, berikut adalah undang-undang yang berkaitan yang sepatutnya dirujuk oleh pihak KDN sebelum sesuatu arahan dikeluarkan.

1)Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang Negeri boleh mengawal dan menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganut Ugama Islam.

2)Undang-undang mengawal perkembangan ugama lain tersebut telah diwujudkan oleh Badan Perundangan Negeri-negeri oleh kebanyakan negeri di Malaysia dan kebanyakan negeri-negeri mempunyai peruntukkan undang-undang yang sama. Di Selangor, undang-undang mengawal agama lain ini dinamakan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988. Untuk memudahkan penulisan, saya akan merujuk kepada Enakmen Selangor.

3) Seksyen 9, Enakmen tersebut memperuntukkan bahawa:-

Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia-
(a) dalam apa-apa tulisan, ucapan, pernyataan awam yang diterbitkan, menggunakan mana-mana perkataan yang disenaraikan dalam Bahagian I kepada Jadual di dalam Enakmen tersebut, untuk menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam.

4) Merujuk kepada Jadual I, antara perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama Islam termasuklah Allah, Rasul, Fatwa, Nabi, Syariah, Ulama dll.

Justeru, pada pandangan saya, Perintah Keselamatan Dalam Negeri (Larangan Dalam Penggunaan Perkataan Tertentu dalam Dokumen dan Penerbitan) 2009 yang baru diwartakan oleh KDN adalah ultra vires (bertentangan dengan) objektif mempertahankan agama Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan, kerana tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 11 (4) tersebut dan Enakmen yang diwujudkan di bawah Artikel 11(4).

Kalimah Allah bukanlah satu kalimah yang sekadar menjadi sebutan atau seruan atau panggilan bagi tuhan semata-mata. Sebaliknya ia merupakan nama yang melambangkan aqidah atau agama bagi orang yang menggunakannya. Oleh itu penggunaannya amat wajar dipantau dan dipelihara oleh kerajaan demi memastikan tiada sesiapa yang terkeliru dengan nama Yang Maha Agung itu. Justeru, keputusan kerajaan untuk mengekalkan larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan bukan Islam, sebagaimana yang telah diputuskan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Oktober dan 1 November 2006 adalah amat bertepatan dan tidak boleh dipertikaikan sama sekali. Malah penggunaan kalimah Allah, Baitullah, Solat dan Kaabah telah pun diwartakan hanya eksklusif buat umat Islam sahaja di bawah Warta PU (A) 15/82 dan pekeliling KKDN. S.59/3/6/A bertarikh 5 Disember 1986.

Anyway, terfikir juga saya, dalam masa yang sama juga, ini menunjukkan 'Bible' mereka tidak original dan boleh diubah-ubah. Sekejap nak guna Jesus Christ, sekarang mahu guna kalimah Allah pula. Memang suka meng'konfiuskan' orang. Maaflah, mungkin entri ini agak panjang, tapi saya amat berharap supaya entri ini dibaca dan jika pembaca bersetuju dengan pandangan saya, minta disebarkan kepada orang lain dengan me'link'kan artikel ini dalam blog masing-masing, untuk memberi kesedaran kepada orang lain peri-pentingnya mempertahankan kalimah Allah, untuk memelihara kesucian Islam. Wallahua'lam.


Rujukan Ilmiah:
-Perlembagaan Persekutuan

-Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

-Dr Amriah Buang, Mengapa Kalimah Allah? Satu percubaan menjelaskan pengertian ketuhanan dalam Islam.

- Artikel bertajuk : Kalimah Allah, bukan bermakna "God Semata-mata, Cawangan Aqidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM.


7 Cucuk Satay Tak Habis Makan... Comment Sikit !:

Yanmie 16 March 2009 at 11:37  

salam pak sheikh...

mmg terkejut betul..benda nie haruslah diamik tegas oleh kerajaan negara malaysia..bukan apa nnti dikhuatiri ramai umat islan yg terpedaya dan terpengaruh...minta dijauhkan..

dan apa yang yan tahu perkataan "ALLAH"...hanyalah utk org islam..

AHMADSUFI6177 16 March 2009 at 12:50  

apabila org kafir menyebut nama Allah itu x bermaksud dia beriman.. pada saya, mmg boleh kalau org kafir sebut sebb akidah bukan diukur dengan panggilan, tetapi dengan membezakan antara tauhid dan syirik.

walau apa pon, abg boleh datang ke blog saya untk menda nie.. sila ikut link...

http://blogsufi.via.my/2009/03/sedikit-update-mengenai-lirik-allah.html

Sheikh 16 March 2009 at 13:11  

semua makhluk di cakrawala nie di cipta oleh Allah tak satu pun terkecuali... dan Allah itu tuhan sekelian alam... ini banyak yg faham ! tapi banyak jugak yang tak faham sebab itu banyak juga manusia yang meragui dan menentang tapi tidak pada binatang dan makhluk2 lain...

Makhluk yang namanya kapir nie jika tiada apa2 yang boleh memberi keuntungan mana mungkin nak gunakan perkataan ALLAH jika tiada membawa keuntungan.... bukannya nak beriman pun bahkan sahaja nak timbulkan kekeliruan pada umat ISLAM

Puak puak nie tak akan ikut kita melainkan dia nak kita ikut dia...

Sasha 17 March 2009 at 09:07  

mereka tahu kewujudan Allah tapi mereka menzalimi diri sendiri dengan tidak mengakui Allah sebagai tuhan yang Esa. Pada saya, ini adalah salah satu strategi org Kristian utk mengkafirkan org Islam. Kenapa sekarang baru sibuk2 nak gunakan perkataan Allah sebagai god?...

Lieya 17 March 2009 at 13:58  

Saje dia orang nie nak mengelirukan kite. So macam2 lah agenda dia orang. Subhallahhhhh semoga Allah melindungi kite semua.

Nurhani Salwa Binti Jamaluddin 20 March 2009 at 09:31  

En Syeikh,

Terima kasih banyak kerana tolong sebarkan perkara ini. mudah2an semakin ramai yang menyedari strategi licik Kristian dan misi agama lain untuk memurtadkan orang islam..

ELeEa 20 March 2009 at 10:39  

Salam ...
Pak Sheikh...
Thanks utk informasi ni...
Risau jugak...
Yela...
Kdg2...kita pun xsdar buku2 apa yg ada dipasaran...sesuai atau x utk bacaan kita sbg umat Islam...
Kalau kita pun baru tau hal ni....bkmungkinan juga adik2 kita tak tau.......lebih2 lagi dgn penggunaan perkataan ALLAH di dlmnya...
Harap2 buku2 agama baru yg dterbitkan pun wajib dpantau...utk mengelakkan pemesongan akidah...

Related Posts with Thumbnails

Lorem Ipsum

E-mail kan kepada..... sheikh@mytownkajang.com

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP